Monday, October 1, 1979

Jurulatih Tarian Negeri Perak

Aku turut menyertai satu kursus Jurulatih Tarian di Tapian Gelanggang, Jabatan Kebudayaan Negeri Perak, Ipoh mulai dari 1 hingga 14 Oktober 1979, mewakili kumpulan kebudayaan Badan Budaya Perak.  Itu adalah kursus jurulatih yang pertama kali aku ikuti sejak bergiat aktif dalam kumpulan kebudayaan. Latihannya berbaloi dalam tempuh dua minggu dapat berkenalan dengan rakan-rakan lain dari seluruh negeri Perak.  


Gambar di atas aku bersama kumpulan Melati.  Antara nama rakan-rakan lain yang aku masih ingat, Zainal, Hamid, Darwam, Malik, dan Zulkarnain.

Saturday, May 12, 1979

Teater Arena "Uda dan Dara"

Teater bertajuk "Uda dan Dara" dalam bentuk arena di bawah kelolaan Onie Moraza telah persembahkan di Kampung Sitiawan, Sitiawan, Perak pada 12 Mei 1979. Teater ini didokong oleh para pelakon dari Kumpulan Badan Budaya Perak. Ini adalah lanjutan kepada pementasan yang telah diadakan sebelum ini di Tapian Gelanggang, Ipoh.

Aku kelihatan membelakangkan kamera dengan memakai selepang kain pelikat petak merah.  Muzik iringan 'live' dari pemuzik Badan Budaya Perak.  Lakonan melibatkan hampir keseluruhan ahli Badan Budaya.

Friday, April 27, 1979

Belasungkawa Ayahanda Ke Rahmatullah

Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid adalah ayah kandungku yang aku belum pernah kenali sehingga umurku 25 tahun. Syukur alhamdulillah berkat kesabaran menanti dalam pencarian, akhirnya aku dipertemukan dengan izin Allah swt dengan ayah di Kampung Bunga Raya, Pontian, Johor.  Aku berterima kasih kepada arwah ayahanda Abdul Syukur (abang kepada ayah) yang berusaha membawa aku berjumpa dengan ayah.

Ayah meninggalkan kami pada 27 April 1979 bersamaan 5 Jamadil Awwal 1399 Hijriah.  Aku tiada bersamanya ketika ayah pergi, hanya menerima khabar melalui ayahanda Abdul Syukur.  Aku berpeluang bertemu dengan ayah sekitar dua bulan sebelum ayah meninggalkan kami. Ia meninggalkan kesan yang amat dalam dan tanda kasih yang amat bermakna.

Wednesday, April 25, 1979

Malam Teater Uda dan Dara

Badan Budaya Perak telah menganjurkan sebuah persembahan bertajuk "Malam Uda Dan Dara" bertempat di Tapian Gelanggang, Ipoh pada 25 April 1979. Aku cuba berjinak-jinak dengan persembahan lakonan pentas, namu sekadar mencuba sahaja. Memagang watak orang kampung. Teater didokongi oleh ahli-ahli Badan Budaya Perak diarahkan oleh Onie Moraza.
 
Flag Counter