Friday, July 16, 2010

Pertemuan Penyair Nusantara Ke-4 Brunei


Pertemuan Penyair Nusantara Ke-4, mula dari 16 hingga 18 Julai 2010 telah berlansung pelancarannya di Dewan Tingkat 15, Bangunan Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei. Dimulakan dengan ucapan daripada Ketua I Asterawani, Yang Mulia Prof. Madya Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah. Majlis kemudiannya dirasmikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abdul Aziz bin Juned (Adi Rumi),Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.


Rombongan Malaysia diwakili oleh ahli-ahli eSastera.com yang diketuai oleh Prof. Dr. Irwan. Turut disertai oleh Ilya Kablam, Citranalis, Has1mah, TabirAlam, Anbakri, Juragan Timur, Kerisakti, Puzi Hadi, Teratai, Noriah Darus dan beberapa jemputan lain. 



seuntai kata
tersurat dan tersirat
memintal akal


lailatulqadar
khalwat mencari waktu
tujuh anggota

Aku berpeluang memperkenalkan persembahan 'Haiku' semasa Festival Penyair Nusantara yang berlansung di Dewan Raya, Radio dan Televisyen Brunei bersama beberapa rakan eSastera lain.  Sebuah 'Senryu' memperkenalkan 'Haiku' dan sebuah 'Haiku' berkenaan 'Qiamullail'.


Sempat bergambar di Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Bandar Seri Begawan, Brunei Darusalam. Sempat bergambar bersama sdr Habiburrahman Al-Shirezi, novelis dari Indonsia dengan novelnya "Ayat-Ayat Cinta". 




Friday, June 4, 2010

Baca Puisi Tiga Negara PENA - eSastera


Program Baca Puisi Tiga Negara (Malaysia, Singapura & Indonesia) di adakan pada Jumaat, 4 Jun 2010 anjuran PENA dengan kerjasama e-Sastera bertempat di Rumah PENA, Kuala Lumpur. Ramai ahli sasterawan tersohor turut hadir pada malam itu.


Malam itu aku bersama sdr Teratai menyampaikan sebuah syair berjudul "Syair Naik Buaian"...

SYAIR NAIK BUAIAN (Teratai & TabirAlam)

Duhai anakanda dalam buaian
lahir ke dunia izinnya tuhan
sanjung ayahmu insan budiman
hormat padanya sepanjang zaman

                    bonda wanita sifat menawan
                    sabar menanti sembilan bulan
                    setelah lahir tiba dipangkuan
                    kasih sayangnya dalam pelukan

Nama diberi indah sebutan
besarmu nanti jadi ilmuan
teguh bertaqwa tegaplah iman
jadilah hamba dikasihi tuhan

                    naik buaian anak perempuan
                    wahailah anak yang setiawan
                    taat dan patuh anak perempuan
                    suamimu itu jangan dilawan

wahailah anak kami berpesan
kepada engkau dalam buaian
ibu dan bapa jangan dilawan
jangan diikut iblis dan syaitan

                    subhanallahMaliku A'inzah
                    anak yang ini limpahkan tuah
                    siang dan malam biar bertambah
                    sehingga tiba masa berpindah

wahailah anak kami buaikan
kepada engkau kami doakan
doa yang pendek mohon pulangkan
rezeki halal minta murahkan

                    subhanallah Malikul Jabbar
                    anak yang ini cepatlah besar
                    jauhkan dari kata yang mungkar
                    dunia akhirat supaya pintar

subhanallah Malikul Rahman
anak yang ini tetapkan iman
amal ibadat minta kuatkan
syaitan dan iblis minta jauhkan

                    subhanallah Malikul Wahab
                    anak yang ini jauhkan azab
                    minta dimakbul doa mustajab
                    siang dan malam mohon berharap

subhanallah Malikul Rahman
doalah kami minta perkenan
siang dan malam sepanjang zaman
bala dan fitnah minta jauhkan

                    subhanallah Tuhan Yang Kudrat
                    jauhkan kami dari maksiat
                    minta rahmat-Mu dunia akhirat
                    alhamdulillah syair pun tamat


Aku agak kekok muncul dengan singlet hitam kerana tidak menjangkakan program diadakan diluar.  Jubah hitam yang dibawa tidak terdaya nak dipakai, kerana suasana tidak bersesuaian, kalau dipakai terlebih gaya, tak dipakai, itulah jadinya...  Kenangan yang paling mahal, aku berpeluang bergambar bersama Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said pada malam itu. 

Saturday, May 22, 2010

'Rompin Rendezvous' e-Sastera



Perjumpaan Komuniti Teka-Teki e-Sastera telah diadakan di Rompin Beach Resort, Pahang pada Sabtu 22 Mei 2010.  Pertemuan itu diberikan jolokan 'Rompin Rendezvous e-Sastera' lanjutan kepada Pertemuan Teka-Teki Siput Belitung yang telah diadakan sebelum ini di Seremban, Negeri Sembilan. Hadirin terdiri dari sdr dahrie selaku jurugambar a-la 'paparazi'. Ucapan terima kasih juga buat sdr founder e-Sastera, sdr Dr.irwan yang hadir bersama-sama kerabat komunuti teka-teki. Turut memberi sokongan malam itu dengan kehadiran sdr Has1mah, Kablam, Naimisa, Dakwat_Cair, Nordarus, Citranalis.



Hidangan malam itu dikelolai oleh sdr Chef_Jaa sendiri, tapi sayangnya dia tak pakai 'toque' malam tu, kebetulan beliau bertugas di Rompin Beach Resort. BBQ berbagai pilihan dari sotong, ikan mabong, sosej, daging lembu, daging kambing, daging ayam, ketam ada ke? Esoknya selepas sarapan pagi, kami sempat bergambar di ruang legar coffee house, tapi tanpa dua rakan yang lain; sdr naimisa dan sdr dahrie... mungkin masih sibuk mengemas di bilik kot...

Tuesday, February 2, 2010

Ulangtahun Bandaraya Kota Kinabalu Ke-10




Hari Ulangtahun Bandaraya Kota Kinabalu ke 10 disambut mulai 2 Februari 2010.  Aku bersama delegasi D’Bougainvillae dari Majlis Bandaraya Ipoh bersama delegasi lain dari Brunei, Filipina dan Korea Selatan. Sementara delegasi dari Semenanjung terdiri dari negeri Perak, Pahang dan Melaka.  Negeri Sabah disertai oleh delegasi Pesona MPS dari Sandakan, Etnik Kokos dari Majlis Perbandaran Tawau, Kumpulan Daerah Pitas, Masyarakat Kadazan Dusun, Bajau, Murut dari Kota Kinabalu, Warisan Bumi Kenyalang dari Dewan Bandaraya Kuching Utara (Sarawak), Maori Dance Troupe dari Sandakan dan 60 singa dari Kolombong Lion Dance Troupe.
 


Majlis makan malam "A Decade Together" dihoskan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu di Grand Ballroom, Magellan Sutera Harbour Resort.  Persembahan dari Salamiah Hassan dan Atilia sungguh menakjubkan dengan pengacara Raja Lawak Johan. Tema malam itu "Black and White'. 

 
Flag Counter