Thursday, December 5, 2013

Bicara Karya Malim Ghozali Pk


Sesi Majlis Bicara Karya Penerima S.E.A Write Award 2013 - sdr Malim Ghozali Pk telah diadakan pada 5 Disember 2013 di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.  Acara dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk).

Sesi bicara karya dilansungkan dengan para kritikawan terdiri dari SN Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, SN Dato' Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan, Prof. Dr. Sohaimi Abdul Aziz, dan En. A. Rahim Abdullah. Hadirin diraikan dengan persembahan nyanyian sajak oleh sdr Malim Ghozali Pk.


 

Wednesday, December 4, 2013

Makam Datuk Shahbandar Hulu


Sekian lama aku hanya mengetahui tentang hubungan aku sebagai cucu kepada Datuk Shahbandar Hulu, Kuala Kangsar, namun aku belum berpeluang menziarah makamnya. Pada Rabu 4 Disember 2013 aku mengambil kesempatan mencarinya bersama emak di Makam DiRaja Bukit Chanda, Kuala Kangsar.



Makamnya terletak di disebelah kiri dari pintu masuk menghala ke curam. Binaannya masih kukuh dan dijaga dengan rapi. Dua buah batu nisannya dibuat dari batu marmar.


Tertera di batu nisan - Al-Fatihah - Allahyarham Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Rahim (Kanda Ibrahim) Datuk Shahbandar Hulu kembalinya ke rahmatullah ta'ala pada hari Khamis jam 6.00 pagi 5 haribulan Muharram 1374 bersamaan 2 September 1954 umurnya 90 tahun.

Thursday, November 28, 2013

Pantun Ulam Majalah Waris



Antara enam buah pantun bertemakan 'Ulam Untuk Kesihatan' hanya sebuah sahaja pantun yang terpilih - Pantun Ulam Raja, pemilihan dianjurkan oleh grup 'Luahan Rakan Pesara' atau ringkasnya LRP di Facebook. 


Pantun ini dimuatkan dalam majalah Waris edisi Oktober-November 2013, edaran dalaman untuk Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).



Di muka hadapan majalah WARIS terpapar gambar sdr Mansor Othman selaku Admin1 kepada laman 'Luahan Rakan Pesara'. Pantun yang lainnya seperti yang berikut:

Pantun Hempedu Bumi

seperdu rami dibubuh cuka
jangan ditarah di tempat awal
hempedu bumi penyembuh luka
tekanan darah dapat dikawal


 Pantun Ulam Jering

perakit sering rajin mencawas
bunga setawar diasing jenis
di pahit jering agen pelawas
juga penawar si kencing manis
 
Pantun Pegaga

malam berjaga sebab berusia
rebahkan badan henti bacaan
ulam pegaga bak astrigensia
tambah ingatan, anti penuaan

Pantun Pucuk Gajus

buruknya rampus pasti ditangis
puas mencubit cerewet reda
pucuknya gajus anti diabetes
lawas sembelit dan awet muda

Pantun Pucuk Mengkudu

terkedu saya cerita salatin
di awal sirah bacar akaid
mengkudu kaya beta karoten
mengawal darah melancar haid

Pantun Pucuk Sambung Nyawa

ngobrol orang di Bandung, Jawa
besarlah kesal gawat dirundung
kolestrol kurang dek sambung nyawa
masalah ginjal dapat dibendung

Saturday, August 24, 2013

9th Asia Cup Men's Hockey Tournament 2013


Kejohanan "9th Asia Cup Men's Hockey Tournament 2013" telah berlansung di Stadium Azlan Shah, Ipoh pada 24 Ogos hingga 1 September.  Aku bertugas sebagai 'Announcer' di bahagian Media.  Sebanyak lapan negara turut bertanding dalam kejohanan ini antaranya; Malaysia sebagai tuan rumah, Oman, Japan, Chinese Taipei, Bangladesh, Korea, India, dan Pakistan. Sayangnya negara Malaysia hanya mampu bertahan di tempat keempat dalam kejohanan itu


Kejohanan dianjurkan oleh Malaysian Hockey Confederation, dengan kerjasama Asian Hockey Federation diterajui oleh Presidennya, DYMM Sultan Azlan Shah Muhibbuddin Shah, dan Perak Hockey Association.  Kedudukan pemenang kejohanan "9th Asia Cup Men's Hockey Tournament"

1. Korea
2. India
3. Pakistan
4. Malaysia
5. Oman
6. Japan
7. Bangladesh
8. Chinese-Taipei


Wednesday, July 31, 2013

Memey: Roborovsky Hamster



Usia Memey menjangkau tiga tahun.  Dia hidup terlepas dalam rumah dan bebas bergerak kemana sahaja.  Sering ke bilik mandi bermain air yang bertakung.  Kalau digosok badannya, dia akan meleperkan diri dan memejamkan matanya.  Kadang-kanag ketika solat, ia akan melintas di hadapan dan bermain dengan rambu sejadah.  Apabila tika aku duduk, Memey akan datang memanjat riba untuk bermain dengannya.  Rabu 31 Julai 2013 jam 2.30 petang aku bawa makan untuk Memey, apabila dicapai ditempatnya, badannya tidak lagi bergerak.  Kaku.  Semua itu tinggal kenangan, walaupun ia hanya seekor haiwan ciptaan Allah swt.

video

Memey

setiap yang hidup akan pergi
bagiku teman bermain saban hari
aduhai kesayanganku
kini sudah tiada lagi, jauh pergi...
selembar kenangan abadi
mencuri sebuah ilusi:
dari kecilnya hingga ke usia tua
memberinya makan di tangan
dibelai matanya pejam
tapi kini semua hilang
sekadar sekeping memori
: Memey

Monday, July 29, 2013

Antologi "Cinta, Rindu dan Kematian"

Sebuah lagi antologi telah diterbitkan, kali ini oleh komuniti "Coretan Dinging Kita" atau nama ringkasnya CDK yang dikendalikan oleh sdr Rambu Debu Ilalang, Jakarta, Indonesia.  Tanggal Isnin 29 Julai 2013 maka terbitlah antologi ini yang memuatkan hasil karya puisi dari 113 orang penyair Coretan Dinding antaranya dari Indonesia, Malaysia, Singapura, Korea, Jerman dan Taiwan. Dengan tema yang sangat unik berkisar tentang Cinta, Rindu dan Kematian.  Tiga buah sajak dari aku dimuatkan dalam antologi ini bertajuk: "Narcissus Kaleng Buran", "Danau Toba: Rindu Tertumpu", dan "Belasungkawa "Maggie".


Narcissus Kaleng Buran

Aduhai teratak di sawah padi
persaksianmu pada purnama
dinihari, lalu diserlahkan
tampan wajah Kaleng Buran
jejaka kaum Bidayuh
menghibur rasa di syahdu malam
lagak narcissus membara
asyik, lagi mengkhayalkan
leka di matanya, lena di hati
menyintai paras dirinya

pudar wajah di bulan sepi
hodoh ngeri tidak terkira lagi
tanpa purnama merisik wajah
begitu misteri sakit dialami
saban malam menanti
menyintai purnama

tidak ketahuan akan adiknya
Kumang, yang disayangi
hingga curiga membolosi
sekeping hati suci
tapi, gerun melanda jiwa
enggan diakui itu abangnya
ke kamar, mengunci diri
antara simpang serba salah

maaf enggan diterima Kumang
Kaleng terapung di langit tinggi

sesalan menjeruk diri
hati Kumang bergelora
tampan Kaleng di purnama malam

galah sebatang dikaitnya abang
sayu berlagu menjulok-julok
hingga ke akhirnya
menjadi punggok


~CDK~
12.09.2013

Saturday, July 6, 2013

Kursus Penulisan Biografi, Memoir & Autobiografi

Menghadiri kursus Penulisan Biografi, Memoir & Autobiografi di Dewan Seri Banding, Hotel Seri Malaysia, Ipoh pada 6 hingga 7 Julai 2013.  Ceramah disampaikan oleh Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, dan Encik Mohd bin Shamsuddin. 



Ketika menerima sijil penyertaan daripada Presiden Persatuan Karyawan Perak, Tuan Haji Zabidin Haji Ismail semasa upacara penutup.



Kursus dianjurkan oleh Akademi Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur bersama Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk).

Saturday, June 22, 2013

Pelancaran Antologi "Lantera Sastera"


Sebuah antologi puisi bertajuk "Lantera Sastera" telah dilancarkan di Kuala Lumpur pada Sabtu 22 Jun 2013.  Pelancaran diadakan di Dewan Serbaguna, Kampung Batu, Kuala Lumpur.  Antologi ini memuatkan puisi-puisi karyawan dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.   Sayangnya, aku tidak dapat hadir bersama mereka malam itu kerana kekangan dari beberapa hal lain. 
 

Kelihatan sdr Dr.irwan juga turut hadir mewakili eSastera.  Juga sdr Amran Ibrahim Rashidi, Ezah Nor dari Malaysia.  Karyawan muda prolifik, Muhammad Rois Rinaldi hadir mewakili Indonesia, serta Noor Aisyah mewakili Singapura, gambar mereka berdua di bawah ini, aku kagum dengan puisi karya mereka...


Lima buah haiku dimuatkan dalam Antologi "Lantera Sastera" terbitan grup lamanweb 'Puisikan Bait Kata Suara'...


Haiku #1

Maulidur Rasul
muslimin berselawat
cahaya ad-Deen


Haiku #2

di Aidilfithri
air mata tergenang
jari sepuluh


Haiku #3

Israk dan Mikraj
usul kadar rakaat
tiang agama


Haiku #4

solat terawih
dua puluh rakaat
berganjak arah


Haiku #5

kumulus putih
sujud meninggi hari
istana emas

 

~PBKS~

Wednesday, April 10, 2013

Pendapat di Projek Dialog

Suntingan pendapat yang dikemukakan kepada pengarang Projek Dialog dimuatkan dalam artikel berkenaan dengan tajuk "Perlunya Dialog Antara Ugama" kelolaan penulis sdr Uthaya Sankar SB telah disiarkan di blog beliau pada 10 April 2013.  Petikannya seperti berikut:

 Sila klik pada gambar untuk paparan besar.

Friday, March 1, 2013

World Haiku Review March 2013

Sebuah dari haiku yang aku hantar ke the World Haiku Club telah terpilih dalam kategori Neo Classical Haiku di bawah sub-kategori Zatsuei (Haiku of Merit) bagi majalah World Haiku Review terbitan March 2013.

a snow covered twig
dripping into the lake
song of the season

Haiku ini aku persembahkan dalam bentuk Haiga (Haiku berlatarbelakangkan gambar) dan aku memilih gambar musim salji yang bersesuaian seperti di bawah. Pautannya boleh dicapai disini.


 
Flag Counter