Saturday, December 6, 2014

Hescom 2014


Majlis makan malam Anugerah Hadiah eSastera.com, atau nama ringkasnya Hescom 2014 anjuran Persatuan Aktivis E-Sastera Malaysia telah diadakan di Dynasty Hotel, Kuala Lumpur pada Sabtu 6 Disember 2014. 

Malam itu aku menerima Anugerah Haiku Melayu Alam Siber dari pengasas eSastera, Prof. Ir. Irwan Abu Bakar bersama hadiah wang tunai.



Hescom adalah satu-satunya acara penulis alam maya dari grup eSastera bertemu mesra setelah berkarya di sepanjang tahunnya. Perjumpaan kali ini mengumpulkan karyawan dari Singapura dan Indonesia. 


Di majlis itu, pertama kalinya aku berkesempatan bertemu dengan penulis muda dari Banten, Indonesia - Muhamad Rois Rinaldi.  

Thursday, December 4, 2014

Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH


Buat pertama kalinya aku menyertai Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2014 dengan penyertaan 50 buah karya dalam berbagai genre.  Jumlah penyertaan telah dinaikkan dari 30 buah karya kepada minima 45 buah karya. 

Aku memilih judul DIASPORA bagi sayembara ini yang membawa maksud penyebaran genre puisi yang terdapat di serata dunia, dan puisi-puisi asing ini dapat dinkimati penulisannya dalam bahasa Melayu.

Antara kategori puisi tradisional yang terhimpun adalah; Gurindam, Masnawi, Nazam, Pantun, Seloka, Syair, dan Talibun. 

Manakala kategori puisi moden pula merangkumi puisi a-la Jepun Haibun, Haiku, Senryu dan Tanka. Selainnya dari genre Madah, Monolog, Sajak, dan Soneta.

Saturday, November 22, 2014

Konvokesyen Abi Fathullah


Konvokesyen anak lelaki Abi Fathullah berlansung pada Konvokesyen Ke 7 Kolej Teknologi Perak (KTP) yang telah berlansung di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh pada Sabtu, 22 November 2014, jam 2.00 petang.  Majlis disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Raja Dato' Seri Eleena Binti Almarhum Sultan Azlan Shah.

Di majlis tersebut di akhir pengajiannya menerima segulung Diploma dalam bidang Sains Komputer (Teknologi Maklumat). 


Sesi graduan bergambar beramai-ramai bersama Yang Teramat Mulia Raja Dato' Seri Eleena Binti Al-Marhum Sultan Azlan Shah. 

"Me and my boy!"

Thursday, November 6, 2014

Pelancaran Himpunan Puisi 'Pujangga'


Majlis Pelancaran Buku Karyawan Perak telah berlansung di Auditorium Utama, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, pada Khamis 6 November 2014.  Perasmian disempurnakan oleh Sasterawan Negara, YBhg. Dato' Dr. Ahmad Khamal Abdullah @ Kemala sempena Seminar Pemikiran Zabidin Haji Ismail, Presiden Karyawan Perak (Karyawan Pk). 




Himpunan puisi "Pujangga" TabirAlam merupakan himpunan karya terpilih sejak tahun 2005 semasa mula aktif dengan kumpulan e-Sastera dan kemudiannya dengan Peminat Sastera Bandaraya Ipoh (PINTAR), dan akhir sekali bersama Persatuan Karyawan Perak. Beberapa karya pantun dalam bahasa Inggeris juga turut dimuatkan dalam antologi ini di bawah kelolaan George Manos yang berpengkalan di New Hampshire, Amerika. 


Sunday, September 21, 2014

Peluncuran Antologi Lentera Sastra II


Buku Lentera Sastra II adalah antologi puisi dari lima negara antaranya termasuk; Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, dan. Antologi ini bakal diluncurkan pada 23 Oktober 2014 di majlis Pertemuan Penyair Asia Tenggara di Cilegon, Banten, Indonesia.  Lentera Sastra II merupakan 'sequel' kepada kejayaan Lentera Sastra yang telah diterbitkan sebelum ini.  Seperti dahulunya, antologi ini adalah dari kerja keras seorang penyair muda di Indonesia, Muhammad Rois Rinaldi. 

MISTIK HUJAN

Rahmat kemarau menduga
getir, seputar musim akur
dan, resah kalbu meruntun lara
dalam damai zikir pasrah menyerah
agar terlerai tandus yang kudus
walau sehalus renjisan
subhanallah...

Kalian insan menumpang nikmat alam
dari gumpalan-gumpalan putih kelabu
membenar naqli firman dalam rahsia
itu rintikan ciptaan khaliq penuh mistik
dilimpah demi haiwan dan tumbuhan
labuhkanlah tangis alam, agar
dapat dirai akan rahmat-Nya

Tiap titik menitis lagi menghidupkan
pada gersang nan fana lagi kontang
menyubur gurun yang kekeringan
juga pada degup rasa nan kehausan

Pada detik kau merebah ke lembah
bermula tabula rasa ketika basah itu 
menyempurnakan suatu kehidupan
pada negeri yang sudah mati


11 Februari 2013
Ipoh

Friday, September 12, 2014

Pujangga - Antologi Puisi TabirAlam


Akhirnya lahirlah sebuah antologi puisi TabirAlam berjudul 'Pujangga' diterbitkan oleh KayaCipta, Temoh, Perak.  Koleksi puisi kategori moden dan tradisional juga memuatkan beberapa buah karya dalam bahasa Inggeris.

Puisi moden terkandung dari beberapa genre termasuk Haiku, Tanka, Senryu, Soneta, dan sajak.  
Puisi tradisonal pula termasuk genre, Syair, Pantun, Seloka, Teromba, dan Nazam. 

Antara puisi yang dimuatkan adalah juga persembahan koloborasi bersama Dato' Norazian Abdul Wahab, a.k.a Teratai dari kumpulan e-Sastera, dan karya sanjungan buat Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. 


Saturday, August 23, 2014

Konvokesyen Ke 16 OUM


Konvokesyen ke 16 Open University Malaysia (OUM) telah disempurnakan di Dewan Merdeka Putra World Trade Centre (PWTC) di Kuala Lumpur pada Sabtu 23 Ogos 2014.  Aku ditemani isteri, emak dan dua orang anak perempuan, Nurul Faizah dan Nurul Fithri. 



Aku menamatkankan pengajian dalam 'Bachelor Of Psychology with Honors' (BPSY) setelah hampir lima tahun Pengajian Jarak Jauh bermula dari tahun 2009. Kuliah diadakan di Pusat Pembelajaran Perak OUM, sama ada di Lorong Greenhill atau Jalan Lim Bo Seng. Syukur kerana 'Project Paper' dapat diselesaikan. 

Tuntutlah ilmu hingga ke akhir hayat... Terima kasih mak kerana melahirkan aku kedunia ini. 

Cenderahati sebagai kenang-kenangan...

Friday, August 1, 2014

Haiku 'Asmaradana' Dalam Dewan Sastera 8/2014


Buat pertama kalinya karya haiku yang kuhantar berjaya menembusi majalah Dewan Sastera bagi edisi bulan Ogos 2014.  Haiku 'Asmaradana' diilhamkan dari kisah percintaan mengandungi lima rangkap haiku berasingan.  Aku memberanikan diri mencuba setelah Dewan Sastera membuat 'review' karya haiku penulis Leyla Syuri dari Jepun sebelum ini.

Aku menempuhi soal selidik dari pihak editor Dewan Sastera sendiri bagi memastikan aku benar-benar berpengalam dalam penulisan haiku. Alhamdulillah, akhirnya haiku aku diterima.  

Saturday, July 5, 2014

Belasungkawa Datuk Sharifah Aini


Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini telah pergi menyahut panggilan Illahi pada 5 Julai 2014, bersamaan 7 Ramadhan 1435 di Pusat Perubatan Pakar Damansara, Kula Lumpur.  Allahyarham dimasukkan ke wad rawatan akbiat panyakit fibrosis paru-paru yang dialaminya sejak beberapa tahun lalu.  Allahyarham pernah berpesan dan amat-amat berhajat agar pemergiannya biarlah pada bulan Ramadhan yang mulia, dan begitu diperkenankan Illahi. 




Sebagai memperingati akan pemergian allahyarham, aku nukilkan sebuah Tanka seperti yang di atas.  Pemergiannya hanya tiga hari selepas hari ulangtahun kelahirannya yang ke 61 pada 2 Julai 2014.  Ramadhan bakal disambut oleh Syawal ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfithri.  Menjelang tibanya Aidilfithri sunyi dari lagu-lagu raya dendangannya.  Aku sendiri tak sampai hati untuk memainkan lagu-lagu raya nyanyiannya. 

kredit gambar: The Star.com.my

Permintaan seorang ibu agar jenazahnya disembahyangkan oleh anak lelakinya tertuntai bilamana Aliff Omar sendiri menyembahyangkan jenazah ibunya di Masjid Al-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail. Semoga rohnya ditempatkan kalangan para mukminin. 

Tuesday, July 1, 2014

Bento's Precious Moment - Happy Dearest Day


Sekeping gambar yang dikirimkan oleh anakku Nurul Faizah telah terpilih memenangi hadiah saguhati dalam ruangan 'Precious Moment' bertemakan 'Happy Dearest Day'. Gambar diambil bersama Nurul Faizah dan isteri, Selmaa. 




Gambar penyertaan tersebut dimuatkan dalam majalah Bento edisi #17 bagi bulan Julai/Ogos/September sempena Hari Raya Aidilfitri 2014. 

Thursday, May 1, 2014

Belasungkawa Arwah Abdul Mutalib Lan


Ayah Alang, nama sebenar Abdul Mutalib bin Lan adalah abang kepada emak, satu-satunya saudara yang tinggal telah kembali ke rahmatullah pada Khamis 1 Mei 2014 sekitar jam 6.00 petang. Dilaporkan ketika meninggal dunia umurnya 99 tahun, meninggal di rumah anak perempuannya Sahirah. Arwah meninggal sakit tua serta mengidapi 'Bronchial Pneumonia' atau radang paru-paru. Kali terakhir aku melawat ayahanda Abdul Mutalib di Hospital Batu Gajah pada Ahad 27 April 2014.


Ini gambar aku bersama Ayahanda Abdul Mutalib pada 28 Oktober 2012 di rumahnya di Kampung Seri Jaya (Kampung Batu Dua) di Batu Gajah. Hanya doa dan al-Fatihah buat Ayahanda.

Saturday, March 22, 2014

Datuk Ramli Sarip - Blues Buat Teman


Konsert Datuk Ramli Sarip - "Blues Buat Teman" Tour 2014 mengadakan 'roadshow' ke lima di Ipoh bertempat di Ballroom Kinta Riverfront Hotel.  Dianjurkan oleh 'People Of Remarkable Talen' (P.O.R.T.) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak bersama Pelancong Perak. 



Aku hanya gemar beberapa lagu dari nyanyian Datuk Ramli Sarip yang tidak terlalu 'heavy' tapi menyegarkan.  Antara lagu yang disampaikan dalam tempuh dua jam persembahan itu, Kamalia, Teratai, Doa Buat Kekasih yang mendapat respons hangat dari penonton. Suaranya masih mampu mengekalkan 'serak basah' yang menggetarkan. 



Friday, March 21, 2014

Anugerah Puisi Dunia Numera 2014

Kredit foto: Abrar Khairul Ikhirma

Majlis Anugerah Puisi Dunia Numera 2014 telah berlansung pada 21 Mac 2014 bertempat di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Juga di keesokan harinya acara Baca Puisi Dunia Numera 2014. 'Numera' adalah singkatan kepada 'Nusantara Melayu Raya'.

5 Puisi Pemenang Hadiah Utama:

1.  Risalah Melayu - Rosmiaty Shaari
2.  Nun Serumpun - Muhammad Rois Rinaldi
3.  Isyiq II - Basri Abdillah
4.  Mencari Arah Tanah - Syarifuddin Ariffin
5.  Bisik Batik - Mohamad Syafiq Mahamad Said

10 Puisi Pemenang Hadiah Penghargaan:

1.   Hang; Kekal di Selat Melaka - Abrar Khairil Ikhirma
2.   Ziarah Kata - Bambang Widiatmoko
3.   Pertarungan Kedua - Djazlam Zainal
4.   Merayap Dalam - Syarifuddin Ariffin
5.   Daun - Zaimi Azlan Ibrahim
6.   Selendang Semesta - A'yat Khalili
7.   Musyahadah - Basri Abdillah
8.   Supranasional: Titik Tolak - TabirAlam
9.   Suluh Ke Semenanjung - Akhmad Taufiq
10. Mihrab Cinta - Zaimi Azlan Ibrahim

Thursday, March 20, 2014

Tabloid Ruang Rekonstruksi, Cilegon, Banten. Indonesia


Empat buah karyaku temuat dalam makalah 'Tabloid Ruang Rekonstruksi' yang diterbitkan di Cilegon, Banten, Indonesia di bawah kelolaan seorang sasterawan muda prolifik, saudara Muhammad Rois Rinaldi.  Beliau juga merupakan Pengurus kepada Dewan Kesenian Cilegon.

Karya puisi yang dimuatkan; sajak (i) Menyusun Rindu, haiku (ii) Indonesia, sajak (iii) Andai Itu Nagasasra Sabukinten, dan sajak (iv) Batik: Grinsing Kediri.  



Muhammad Rois Rinaldi

Saturday, February 22, 2014

Manaqib Dr Hj Suhaimi Muhammad

Menghadiri Majlis Manaqib buat allahyarham Dr. Haji Suhaimi Haji Muhammad (r.h) di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Perak pada jam 9.00 pagi. Majlis dianjurkan oleh Karyawan Perak dengan Yayasan Kampung Karyawan Malim.


Sesi kritikawan disampaikan oleh:

1) Dr. A. Halim Ali (UPSI)
2) Dr. Haji A. Rahim Abdullah (ASWARA)
3) Dr. Haji Shamsudin Othman (PENA)
4) Dr. Haji Malim Ghozali Pk (Karyawan Pk)
dan dibantu oleh moderator Encik Mohamad Shaidan (DBP)

Saturday, February 15, 2014

Majlis Khatam al-Quran

Majlis yang dinanti-nanti untuk disempurnakan setelah seorang demi soeorang anak kkhatam mengaji dengan ustazah mereka. Akhirnya diadakan dirumah emak bagi meraikan kesungguhan mereka mengaji al-Quran. Syukur alhamdulillah buat anakanda Abi Fathullah, Nurul Faizah, Nurul Fayyadhah dan isteriku Selma'a...
Terima kasih diucapkan buat ustazah yang membimbing anak-anakku sehingga selesai pengajian al-Quran dan boleh membaca dengan sendirinya.  Majlis hanya diraikan dari kalangan saudara terdekat. Jazakallhu kahiran.


Bergambar bersama ustazah Shamsiah di sebelah kiri dan ustazah Nin di sebelah kanan. Terima kasih di atas sumbang bakti kalian.

 
Flag Counter